Pendaftaran Permohonan Geran Khas Prihatin 2.0
4 Oktober 2020 | Aktiviti TerkiniPada 3 Oktober lepas, Pusat Internet PPR Kg Muhibbah telah mengadakan satu sesi Pendaftaran Permohonan Geran Khas Prihatin 2.0 secara atas talian bersama salah seorang ahli Pusat Internet yang mesra dipanggil Kak Su (bukan nama sebenar) yang juga merupakan usahawan di kawasan PPR Kg Muhibbah. Kak Su hadir ke pusat internet dan bertanyakan kepada staf mengenai bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan terhadap usahawan yang terjejas akibat Pandemik COVID-19.
Pada mulanya, Kak Su memaklumkan bahawa beliau telah terlepas tempoh permohonan bantuan Geran Khas Prihatin semasa di awal pengumuman oleh pihak kerajaan lalu menunggu keputusan jika ada permohonan baru atau lain-lain bantuan yang ditawarkan khusus untuk para usahawan membangunkan semula perniagaan seperti sedia kala. Staf di pusat internet memaklumkan bahawa pendaftaran Permohonan Baru Geran Khas Prihatin bagi Fasa Kedua (GKP 2.0) telah pun dibuka mulai 1 Oktober 2020 sehingga 31 Oktober 2020 dan beliau berhasrat untuk meluangkan masa mengisi permohonan bantuan berikut di pusat internet.
Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) adalah bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan. Pemohon GKP 2.0 perlulah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti bukan penerima GKP sebelum ini, berstatus warganegara Malaysia, menjalankan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro dengan jumlah jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM300,000, mempunyai jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi 4 orang (tidak termasuk pemilik), perniagaan didaftarkan dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020 serta masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.
Antara manfaat yang diperoleh para usahawan yang lulus Permohonan Geran Khas Prihatin adalah dapat meringankan beban kewangan perniagaan selain meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan. Permohonan secara dalam talian ini boleh dibuat melalui Portal GKP (https://gkp.hasil.gov.my) memandangkan permohonan secara manual tidak diterima oleh pihak LHDNM. Bagi pemohon yang berkelayakan, semakan keputusan permohonan boleh diketahui dengan menyemak menerusi Portal GKP yang sama mulai 15 November 2020. Tarikh pembayaran bagi GKP 2.0 pula dijangka akan dibuat bermula 25 November 2020 yang mana dikreditkan ke akaun bank persendirian pemohon yang didaftarkan pada permohonan GKP 2.0 dan akaun bank mestilah dalam keadaan aktif.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: